• Semasa

    Polis 'upload' gambar kubur sebelum ajal





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    ANGGOTA polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Travers, Konstabel Mohd Zamri Sinsian, 26, seakan-akan sudah mengetahui ajalnya bakal tiba.



    Perkara ini dapat dilihat menerusi gambar kubur dengan kenyataan: ‘Hanya Aku & Amalanku Di Sini Nanti’ yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Isnin lalu.

    Rakan karibnya, Lans Koperal Mohd Muamar Indan berkata, Allahyarham Zamri yang berasal dari Ranau, Sabah serta masih belum mendirikan rumah tangga, turut memuat naik gambar penuh berwarna hitam sehari sebelum dia dirempuh kereta yang terbabas di Jalan Semantan dari Jalan Damansara, awal pagi semalam.

    “Sebahagian rakan-rakan lain turut bertanya kepada Allahyarham mengapakah dia memaparkan gambar kubur dan ayat berkenaan, namun dia tidak menjawab.

    “Sehari selepas itu (kelmarin) Allahyarham masukkan pula gambar hitam dalam Facebooknya, dan seolah-olah sudah tahu bahawa sesuatu bakal menimpanya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

    Muamar yang kini berkhidmat di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berkata, Allahyarham merancang untuk menghantar kakaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini untuk pulang ke Sabah selepas bercuti di Semenanjung sejak beberapa hari lalu.

    “Dia ada beritahu untuk hantar kakaknya hari ini tapi sebaliknya jenazahnya yang turut dihantar pulang ke Sabah.

    “Allahyarham ini adalah sahabat yang pendiam dan mudah tersenyum apabila bersama-sama sesiapa sahaja termasuk ketika menjalankan tugas sebagai anggota Polis Pelancong,” katanya.

    Katanya, dia sedih atas kehilangan sahabat baiknya yang dikenali ketika bertugas di Unit Polis Pelancong selama lebih setahun sepanjang 2017 dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman.

    “Tugas sebagai seorang anggota polis ini sememangnya sering terdedah kepada bahaya dan risiko dan kami tidak tahu apakah yang bakal menimpa kami pula selepas ini namun apa yang paling penting adalah berusaha memastikan keamanan dan keharmonian negara,” katanya.

    Dalam kejadian pada 3.50 pagi itu, Zamri disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala rakannya, Konstabel Osman Ibrahim, 23, cedera parah di kepala selepas dirempuh kereta yang terbabas ketika menuruni bukit.

    Semasa kejadian, Zamri dan dua lagi rakan setugas sedang membuat pemeriksaan mengejut ke atas kereta di tepi Jalam Semantan. - myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad