• Semasa

    Jiran berbisik maklumkan rumah terbakar





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Jiran berbisik maklumkan rumah terbakar. “KETIKA sedang khusyuk menadah tangan untuk berdoa selepas solat, seorang jiran membisik rumah saya terbakar,” kata Deraman Mohd, 67, selepas rumahnya di Kampung Pulau Serai, Dungun, musnah dalam kebakaran, hari ini.


    Jiran berbisik maklumkan rumah terbakar


    Deraman berkata, kebakaran berlaku pada 1.20 tengah hari ketika dia berada di masjid berhampiran bagi mengerjakan solat Zuhur.

    Katanya, sebaik dimaklumkan, dia segera pulang dan mendapati api marak membakar rumahnya itu.

    “Saya sangat sedih apabila gagal menyelamatkan sebarang harta benda termasuk wang masjid.

    “Sebuah motosikal Yamaha Y150Z, wang simpanan sebanyak RM3,000 serta wang kutipan masjid yang belum sempat saya serahkan sebanyak RM1,500 musnah terbakar, “katanya.

    Sementara itu, isteri mangsa, Wan Lijah Wan Bakar, 63, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak nasi minyak ditempah seorang rakan untuk mengadakan kenduri arwah ibunya di Masjid Pulau Serai, malam ini.

    Katanya, ketika itu, dua anak kembarnya, Nor Farahana Syazwani Deraman, 23, dan Nor Farahani Syazwana Deraman, 23, dan cucunya, Muhammad Fairil Atharizz Mohd Khairul Ridhuan, 3, berada di ruang tamu rumah.

    “Kedua-dua kembar itu mengasuh anak jiran berusia dua tahun dan dua tahun setengah sebelum Syazwana menjerit memberitahu api di bahagian atap rumah.

    “Saya pantas naik ke rumah dan mendapati api marak sambil menjerit kepada mereka supaya menyelamatkan semua kanak-kanak terbabit,” katanya.

    Menurutnya, akibat ketakutan, dia berlari keluar rumah dan meninggalkan semua masakannya di dapur.

    “Ini adalah ujian Allah terhadap saya dan saya meminta maaf kerana tidak dapat menyiapkan juadah tahlil arwah yang ditempah itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.29 tengah hari.

    Katanya, seramai 20 anggota dari BBP Dungun dengan kerjasama anggota BBP Marang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 3.30 petang.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. - myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad