SEMy2030 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030
SEMy2030 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030
Kuala Lumpur: Sebanyak 95,000 peluang pekerjaan dalam sektor perusahaan sosial disasarkan menjelang tempoh lapan tahun lagi melalui Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, 95,000 pekerjaan itu boleh diwujudkan melalui jangkaan 10,000 perusahaan sosial yang berdaftar dengan kementerian yang akan menghasilkan nilai perolehan sebanyak RM2.6 bilion.
Mengulas lanjut, katanya, SEMy2030 akan mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial yang ideal bagi mengarus perdana perusahaan sosial dalam ekonomi dan menormalisasi impak sosial dan alam sekitar yang dihasilkan menjelang 2030.
"Melalui SEMy2030 kita meletakkan lima sasaran supaya keusahawanan sosial turut terbabit memberi bantuan sosial kepada golongan rakyat memerlukan kerana kita perlukan sokongan pihak swasta.
SEMy2030 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030
"Kita meletakkan sasaran dalam aspek bilangan perusahaan sosial yang berdaftar, peratusan perusahaan sosial yang diakreditasi, nilai perolehan, bilangan pekerjaan yang diwujudkan dan penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam indeks tempatan serta antarabangsa.
"Sehingga kini, SEMy2030 sudah mewujudkan 3,900 pekerjaan yang dijangka meningkat kepada 47,000 pada 2025 dan 95,000 pada 2030," katanya pada sidang media selepas pelancaran SEMy2030 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Noh berkata, sejak dilaksanakan pada 2021 sehingga kini, 414 syarikat sudah berdaftar sebagai perusahaan sosial dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 5,000 pada 20245 dan 10,000 (2030).
Katanya, sehingga kini, RM100 juta nilai perolehan berjaya dihasilkan daripada 413 perusahaan sosial berdaftar.
SEMy2030 Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030
KUALA LUMPUR: Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, SEMy2030 dibangunkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif dalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan mahu perusahaan sosial terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.
"Kerajaan menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.
Sehubungan itu, sebuah dasar dan objektif nasional jangka panjang perlu diwujudkan.
"Justeru SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
"Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta," katanya pada majlis pelancaran SEMy2030, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan geran pembiayaan kepada perusahaan sosial yang keseluruhannya berjumlah RM810,935.10 yang memberi manfaat membabitkan 490 peserta.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM156,300 daripada UDA Holdings Sdn Bhd; Bank Rakyat, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad kepada empat perusahaan sosial terpilih.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, SEMy2030 menggariskan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran, jangkauan dan pembudayaan konsep keusahawanan sosial yang berdaya maju dan memberi impak positif kepada peningkatan kehidupan masyarakat.
Katanya, bagi memastikan perusahaan sosial mampu berkembang dan lebih berdaya saing, SEMy 2030 turut menggariskan strategi bersasar untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial.
"Perusahaan sosial hendaklah terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.
"Usaha bersepadu akan diambil untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyelarasan serta pemantauan dan pengukuran impak program pembangunan keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.
"Ia adalah asas membangunkan sebuah ekosistem yang komprehensif dan kondusif dalam menyokong pertumbuhan keusahawanan sosial di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, SEMy2030 akan menyediakan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
Katanya, SEMy2030 turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri perusahaan sosial di peringkat global.
"Di samping itu, KUSKOP akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada supaya mendapatkan akses lebih luas terhadap bantuan dan peluang berkembang maju ke hadapan.
"Saya yakin bahawa keusahawanan sosial adalah pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan sosioekonomi dalam kalangan Keluarga Malaysia serta menjamin kemapanan alam sekitar.
Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial terutamanya agensi awam dan swasta, pelabur impak sosial serta badan korporat diseru supaya memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan.
Katanya, beliau juga mengharapkan lebih ramai generasi muda terutama golongan belia serta graduan sebagai golongan pelapis, turut menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan keusahawanan sosial di Malaysia.
No comments