• Semasa

    Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan (JAKIM)





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

     Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan SebulanIngat lagi tak niat puasa Ramadhan? Pejam celik, lebih kurang dua minggu lagi kita dah nak masuk bulan Ramadhan tahun ini. Jom kita ingat balik niat puasa dan info penting bagi mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadhan. 

    Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan (JAKIM)

    Niat Puasa Ramadhan : Niat Harian & Niat Sebulan Terus

    Puasa Ramadhan dari segi bahasa maksudnya menahan diri dari sesuatu. Dari segi syarak pula bermaksud menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu. 

    Puasa pada bulan Ramadhan wajib dikerjakan sesuai dengan dalil yang dipetik dari surah al-Baqarah ayat 183 :

    Syarat wajib untuk berpuasa ialah beragama Islam, mukallaf (orang yang cukup umur untuk melaksanakan perintah Allah dan tiada halangan atau keuzuran. 

    Niat Puasa Ramadhan : Niat Harian & Sebulan

    Niat puasa untuk setiap malam dan untuk sebulan adalah seperti di bawah :

    i) Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan Ramadhan

    نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى’

    Lafaz niat puasa Ramadhan (harian) dalam Rumi: Nawaitu Sauma Gho Din, ‘An Ada-i, Fardisy-Syahri, Romadona, Hazihissanati, Lillahi Ta’ala

    Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari dalam bulan Ramadhan tahun ini, kerana Allah Ta’ala

    ii) Lafaz Niat Puasa Ramadhan (Sebulan)

    نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى ‘

    Lafaz bacaan niat puasa sebulan dalam Rumi adalah seperti berikut: Nawaitu Sauma Syahri, Romadona, Kullihi, Lillahi Ta’ala

    Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan, kerana Allah Ta’ala

    Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan
    Kredit Foto : JAKIM www.islam.gov.my

    Syarat-Syarat Niat Puasa

    Isu sama ada niat puasa setiap malam atau sekaligus untuk sebulan pasti akan timbul setiap kali bulan Ramadhan tiba. 

    Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya:

    Dalam memasang niat puasa, kita perlu jelas tentang syarat-syarat dalam niat supaya ibadah yang dilakukan jelas untuk dilaksanakan.

    Syarat-syaratnya adalah seperti berikut : 

    • Al-Jazm (الجزم) – niat yang benar tanpa rasa keraguan
    • Al-Ta’yiin (التعيين) – menentukan jenis puasa sama ada puasa Ramadhan, puasa wajib seperti qadh’ dan nazar, atau puasa sunat.  
    • Al-Tabyiit (التبييت) – menetapkan niat pada malam hari iaitu antara waktu selepas tenggalam matahari hingga terbit fajar sadiq (sebelum masuk waktu solat Subuh.

    Adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

    Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan
    Kredit Foto : muftiwp.gov.my

    Berikut adalah penerangan Mufti WP:

    Pendapat Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa 

    Berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

    Ia sepertimana solat yang dimulakan dengan niat pada permulaan tanpa perlu memperbaharui niat pada rakaat seterusnya.

    Pendapat kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam

    Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini.

    Puasa pada setiap hari bulan Ramadhan adalah ibadah yang tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya).

    Kesimpulannya, pendapat kedua iaitu niat perlu diperbaharui setiap malam lebih menepati mazhab kita, mazhab Syafie dan pendapat ini juga merupakan pendapat jumhur serta disyorkan oleh mufti wilayah.

    Adapun begitu, niat puasa sekaligus untuk sebulan juga dibolehkan sebagai langkah berjaga-jaga.

    Niat puasa untuk bulan Ramadhan boleh dilakukan untuk sebulan sekaligus jika risau  terlupa niat disebabkan tertidur awal atau terbangun lewat ketika sahur. 

    Rujukan penuh tentang isu ini di pautan di bawah :

    https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/1056-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-74

    Hikmah Puasa

    Nikmat di dunia walau sebesar mana pun tidak dapat dapat menandingi nikmat di akhirat.

    Ibadah puasa juga tersembunyi pelbagai hikmah bagi mukmin yang melaksanakannya secara bersungguh-sungguh. 

    Pada bulan Ramadhan, pintu neraka ditutup manakala pintu syurga dibua seluas-luasnya. Bulan Ramadhan merupakan waktu pahala diganda-gandakan bagi hamba yang beribadah dengan ikhlas demi mendapatkan keredhaan Allah. 

    Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Sabar adalah separuh dari iman. Bulan Ramadhan ialah bulan yang elok untuk kita mengajar erti sabar dalam diri.

     Bukan sahaja sabar dalam menahan kelaparan, malah berpuasa adalah latihan bagi menahan diri serta anggota badan daripada kemahuan dan godaan secara zahir dan batin. 

    Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan
    Kredit Foto : therohani.com

    Puasa mendidik kita untuk ikhlas dalam beribadah. Sifat ibadah puasa yang dilaksanakan secara sendirian melatih kita untuk jujur dengan perbuatan sewaktu berpuasa. 

    Atas rasa taqwa  kepada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, kita akan berusaha untuk memelihara kualiti puasa dengan cara menghindar diri dari maksiat dan perkara yang membatalkan puasa sama ada di depan orang ketika berseorangan di samping membanyakkan amalan baik. 

    Semoga bulan Sya’aban kita diberkati dan kita diberi peluang untuk bersama-sama sampai ke bulan Ramadhan yang mulia bagi menjalankan ibadah puasa. Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad