Selasa, Mac 18.
  • Semasa

    Anak bawa 'bantal busuk' kejar ayah dihukum gantung





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Anak bawa 'bantal busuk' kejar ayah dihukum gantung. SUASANA pilu menyelubungi pekarangan luar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown, hari ini apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun membawa bantal kecil dilihat mengejar bapanya yang diiringi polis selepas dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.


    Anak bawa 'bantal busuk' kejar ayah dihukum gantung


    Kanak-kanak terbabit yang tidak mengetahui apa berlaku ditemani neneknya dilihat meluru ke arah bapanya yang hanya mampu memandang sayu ke arah anaknya itu.

    Situasi itu turut membuatkan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan tersentuh hati.

    Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh, Keow Sze Teve, 36, kerana mengedar dadah dan 16 tahun penjara dengan empat sebatan kerana memiliki senjata api dan peluru, tiga tahun lalu.

    Abdul Wahab berkata, pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes terbabit.

    “Dalam keterangannya, tertuduh memberitahu isterinya menghantarnya ke lokasi dan dadah itu ditemui dalam kereta. Dia menafikan kereta itu adalah miliknya dan mendakwa ia dipinjam daripada kawan.

    “Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan polis, mereka menemui sijil kelahiran tertuduh dalam kereta itu. Tertuduh menafikannya dan mengatakan bahawa ia berada di dalam beg sandangnya.

    “Polis turut menemui kunci kereta di dalam meja di lokasi tempat tertuduh ditahan. Berdasarkan kes ini, mahkamah mendapati kesaksian tertuduh itu adalah penafian semata-mata,” katanya.

    Tertuduh diwakili peguam C Ravi manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini.

    Dalam rayuannya, Ravi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan minimum untuk tertuduh.

    “Sebelum ditangkap, tertuduh bekerja sebagai pengutip hutang kepada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen, mempunyai isteri dan anak berusia tiga tahun dua bulan di bawah jagaannya,” katanya.

    Abdul Wahab kemudian menjatuhkan hukuman mati untuk dua pertuduhan pertama iaitu mengedar dadah, penjara lapan tahun dan dua sebatan masing-masing untuk tuduhan pemilikan pistol dan lima tahun penjara kerana memiliki peluru.

    Bagi dua pertuduhan pertama, beliau dituduh mengedar 512.2 gram dan 474 gram methamphetamine di Jalan Impian Ria, Taman Impian Ria, Machang Bubok pada 2 pagi 19 Jun 2015.

    Kesalahan itu dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan ketiga dan empat, dia dituduh memiliki pistol berjenama Pistol 8000 FT dan 12 peluru 9mm jenama RA1 10 Luger di Jalan Impian Ria, Taman Impian Ria, Machang Bubok pada pada 2 pagi 19 Jun 2015.

    Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia dituduh memiliki pistol berjenama Pietro Beretta Gardone VT, dan 32 peluru jenama S & B 9X9 12 dan 15 peluru jenama S & B 40 S & W di lokasi, tarikh dan masa sama. -  myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad