• Semasa

    6 Kelebihan Hari Jumaat





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Kelebihan Hari Jumaat. Hari Jumaat adalah hari hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud : "Apabila diseru untuk bersembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah serta tinggalkan jual beli. Inilah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui". (Surah Jumaah ayat 9)

    Hari Jumaat


    Kelebihan Hari Jumaat


    Dalam ayat itu, Allah melarang manusia bekerja dan berusaha untuk kepentingan dunia sebaik ia mendengar seruan azan solat Jumaat. Larangan ini menggambarkan bahawa menunaikan fardu Jumaat penting dan wajib dikerjakan.

    Dalam hadis lain Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar disisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

    Pada hari Jumaat kita disunatkan pergi ke masjid awal,sekurang-kurangnya sebelum tergelincir mata hari. Ini kerana pada setiap hari Jumaat, Allah mengutus malaikat berdiri di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang masuk. Apabila khatib naik ke mimbar, berhentilah mereka mencatatnya.

    Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk kesaf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang. Apabila masuk masjid, hendaklah kita solat dua rakaat tahayattul masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah.

    Sebaik-baiknya hendaklah ia solat di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia sedang solat. .Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah  mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah nasihat itu untuk diri kita dan berazamlah untuk melaksanakan segala nasihat tersebut.

    Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah. Larangan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:"Sesiapa yang berkata kepada temannya sedangkan imam masih berkhutbah: Dengarlah! Maka dia telah lalai, dan barang siapa yang lalai pada waktu imam sedang berkhutbah maka tiada Jumaat baginya." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

    Setiap hari-hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. hari Jumaat adalah hari yang paling istimewa daripada hari-hari lain. Terdapat enam keistimewaan hari Jumaat iaitu :

    Fadhilat Hari Jumaat


    1. Berlakunya hari kiamat.


    Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

    Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat”. (Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)

     2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari Syurga.


     Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam a.s. diciptakan, dan hari ini jugalah baginda diturunkan daripada Syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya : “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari Syurga.”

     3. Penghulu segala hari.


     Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat di namakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

    Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

     4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.


     Daripada Abdullah bin Amr berkata sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

    Jadi, sama-samalah kita berdo'a moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t.

     5. Kebaikan menjaga kebersihan dan memotong kuku.


    Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yangsebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

     6. Makbulnya do'a di antara dua khutbah.


    Majoriti ulama'  berpendapat bahawa makbulnya do'a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

    Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan". (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

    “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo'a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do'anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

    Abi Burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

    Sahabat yang dimuliakan,
    Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

    Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta."

    “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu."

    “Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas."

    “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam , " dan

    "Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

    Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

    Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

    Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya  : “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi." 

    “Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

    Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad